TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM1.22 juta dipercayai akan dijual pada sambutan Hari Raya Aidilfitri ini selepas menyerbu sebuah stor di Kampung Bunohan di sini semalam.
Serbuan dijalankan kira-kira pukul 6.45 petang oleh pasukan risik dan khas Briged Tenggara PGA selepas mendapati stor penyimpanan barangan berkenaan dijadikan transit untuk kesemua mercun dan bunga api itu sebelum ia dijual ke pasaran tempatan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, pemeriksaan di dalam premis itu menjumpai kotak-kotak yang berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai lebih RM1.22 juta.
Menurutnya, PGA turut menyita sebuah lori jenis Isuzu yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barangan tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati, stor tersebut disyaki dijadikan sebagai transit kepada barangan tersebut sebelum ia diedarkan ke pasaran.
“Serbuan itu dilakukan selepas mendapati pemilik premis tersebut melanggar syarat penyimpanan yang telah dikeluarkan oleh pihak polis,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, seorang lelaki berusia 31 tahun yang berada di stor itu turut ditahan untuk membantu siasatan.
Menurutnya, rampasan itu merupakan kejayaan terbesar PGA melibatkan mercun dan bunga api pada tahun ini.
“Suspek dan barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – KOSMO! ONLINE