SUNGAI SIPUT- Komposisi masyarakat Malaysia mesti digambarkan dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuklah jawatan penting seperti Naib Presiden.
Menjelang kemuncak pemilihan PKR pada Mei depan, Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan yakin Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melihat perkara tersebut termasuk mempunyai wakil dari Borneo.
“Empat jawatan Naib Presiden dipertandingkan dan tiga dilantik. Presiden akan menggunakan kebijaksanaan bagi memastikan tujuh jawatan ini mengisi komposisi kaum supaya suara-suara semua masyarakat itu ada dalam MPP,” katanya kepada pemberita semasa majlis berbuka puasa di sini kelmarin.
Empat penyandang jawatan Naib Presiden ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tiga yang dilantik ialah Nurul Izzah Anwar; Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy serta Awang Husaini Sahari dari Sabah.
Sementara itu, Kesavan melihat sokongan kaum India terhadap PKR kekal teguh setelah dua tahun Anwar memegang tampuk pentadbiran negara. – KOSMO! ONLINE