JOHOR BAHRU – Seorang pemandu kereta Proton Iriz rentung setelah kereta dipandunya itu terbakar di Kilometer 11.3, Lebuhraya Senai-Desaru, Ulu Tiram menghala Senai, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penguasa Bomba Kanan II Saifulbahri Mahpop berkata, pihaknya menerima laporan insiden kebakaran kereta pada pukul 3.33 pagi.
“Bantuan bomba tiba di lokasi pada pukul 3.51 pagi dan setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati terdapat kereta jenis Proton Iriz terbabas dan terbakar kira-kira 80 peratus.
“Tindakan pantas PKO berjaya mengawal kebakaran dalam masa 20 minit. Semasa operasi dijalankan mendapati mangsa terperangkap di ruang pemandu kereta itu,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mayat pemandu tersebut berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat. – KOSMO! ONLINE