KLUANG – Kegiatan 11 lelaki yang aktif mencari rezeki haram dengan melakukan ‘kerja’ mencuri dalam bangunan serta pecah masuk rumah akhirnya terhenti apabila mereka dicekup dalam Op Pintu, Khamis lalu.
Dalam operasi bermula pada pukul 1.38 pagi hingga 9 malam, suspek yang berusia antara 26 hingga 46 tahun diberkas di tiga lokasi berasingan di Simpang Renggam, Kampung Gajah dan sekitar daerah Tangkak.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan berharga termasuk tujuh unit komputer riba dan sebuah projektor.
“Turut dirampas adalah sebuah peti tunai berwarna biru, sehelai baju, satu beg jenama berwarna coklat dan sebuah kereta Perodua Alza.
“Hasil semakan mendapati tujuh daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Mereka aktif melakukan jenayah pecah rumah, menceroboh serta mencuri dalam bangunan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bahrin berkata, enam daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan kesemua tangkapan direman selama empat hari sehingga 17 Mac ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 448 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE