JOHOR BAHRU – Hasrat seorang penyelia kilang wanita merasakan duit pinjaman RM10,000 lebur apabila terperangkap taktik licik scammer yang memasang jerat menyamar sebagai along.
Wanita yang berusia 28 tahun itu malah turut melopong ekoran duit simpanannya dikebas individu terbabit yang memperkenalkan diri sebagai ‘Ramon’.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa terjerat dengan helah selepas menerima panggilan pada4 Mac lalu.
Katanya, suspek menawarkan mangsa pinjaman sebanyak RM10,000 dan tanpa menyedari taktik lincah along itu, mangsa bersetuju untuk mengambil pinjaman tersebut.
“Sebanyak RM8,000 telah dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank tempatan atas nama mangsa.
“Namun dari 9 Mac hingga Rabu lalu, mangsa dipaksa untuk membuat pembayaran balik dengan melakukan 33 transaksi ke dalam 19 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM68,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raub, suspek mengugut dan mengancam mangsa supaya membayar lebih banyak wang daripada jumlah yang telah dibayar.
Katanya, suspek turut mengancam mangsa dengan mendakwa mereka akan melakukan gangguan dan mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis.
“Semakan melalui aplikasi Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komeriak (JSJK) mendapati semua 19 akaun bank tersebut tidak mempunyai rekod penipuan lampau,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE