MELAKA – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia selepas pengsan berhampiran padang sekolah di Bukit Baru di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika waktu rehat sekolah.
Menurutnya, sebelum insiden berlaku, pelajar terbabit yang juga atlet bola tampar telah menyertai sesi pendidikan jasmani bersama rakan-rakannya.
“Ketika dalam perjalanan menuju ke kantin, mangsa yang juga pelajar bukan Islam tiba-tiba rebah tanpa menunjukkan sebarang tanda awal masalah kesihatan.
“Guru dan rakan-rakan yang menyaksikan kejadian segera memberikan bantuan sebelum pihak sekolah menghubungi ambulans bagi mendapatkan rawatan kecemasan,”katanya, hari ini.
Jelasnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dan pasukan perubatan memberikan bantuan pernafasan (CPR) selama 30 minit, namun pelajar itu gagal diselamatkan sebelum disahkan meninggal.
Christopher berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah terlibat dalam kes ini, dan ia diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE