JOHOR BAHRU – Seorang warga emas ditemui rentung dalam kejadian kebakaran tiga buah rumah teres di Jalan Permas 2/4, Taman Permas Jaya di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.13 tengah malam itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali Md Aris Samar, 84.
Difahamkan, ketika kejadian kediaman itu dihuni mangsa bersama anak berusia 57 tahun dan tiga cucu perempuan berusia antara 16 hingga 21 tahun.
Mereka bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II, Saiful Bahri Mahpop berkata, 33 anggota beserta tujuh buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat tiga buah rumah struktur kekal telah terbakar dengan kerosakan antara 20 hingga 80 peratus.
“Mangsa rentung ditemui terperangkap pada bahagian atas rumah tengah dan mangsa melecur 70 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE