PETALING JAYA – Seorang demi seorang pelanggan tampil meluahkan kekecewaan terhadap sebuah butik fesyen jenama popular yang didakwa gagal menghantar tempahan baju raya mereka, walaupun bayaran telah dibuat sejak sebelum puasa lagi.
Rata-rata pelanggan menyifatkan diri mereka ditipu malah turut bimbang sekiranya tidak sempat menerima baju sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Zura, 28, berkata, dia telah membuat pesanan (pre oder) sejak sebelum puasa iaitu 2 Februari namun sehingga kini masih belum menerima sebarang nombor siri khas (tracking number).
“Katanya tempoh pre oder seminggu. Kemudian seller (penjual) akan kemas kini tracking number. Tapi dh dua minggu puasa masih sepi. Dah cuma mesej seller, tak ada sebarang maklum balas,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Lebih menyakitkan hati, Zura berkata, pihak pengurusan butik langsung tidak memberi sebarang maklum balas malah didakwa dengan berani bertindak memadam setiap aduan pelanggan di ruangan komen akaun media sosial jenama pakaian tersebut.
“Mesej di ruangan komen juga telah dipadam oleh pihak seller. Baju saya beli harga RM350, bukan murah. Kalau ditipu? Apa nasib kami?,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan dari Singapura dikenali sebagai Suzy, 30, turut meluahkan rasa bimbang apabila banyak komen negatif ditinggalkan pelanggan terhadap jenama pakaian tersebut.
Menurut Suzy, dia baru sahaja membuat pesanan sepasang baju raya dari jenama tersebut pada harga RM621 termasuk kos penghantaran ke luar negara.
“Saya baru sahaja beli minggu ini, Tapi lepas saya order (buat pesanan), baru saya nampak komen-komen yang tak berapa elok. Itu yang saya jadi risau. Dalam sehari makin banyak orang komen cakap benda yang sama. Lepas itu komen kena padam.
“Ada yang kata mereka sudah dapat baju tetapi saiznya tidak seperti ukuran yang dipaparkan di laman web. Pelanggan tetap yang biasa membeli di sini juga mengadu saiz kali ini tidak sama seperti sebelumnya,” katanya.
Selain itu, katanya ramai pelanggan mengadu mesej mereka tidak dibalas apabila cuba menghubungi pihak kedai.
Malah, selepas kedai mengeluarkan kenyataan rasmi meminta pelanggan menghantar pertanyaan melalui e-mel, ramai tetap mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di laman Instagram jenama pakaian tersebut mendapati, banyak luahan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan layanan pihak pengurusan jenama tersebut dan ada mendakwa nombor siri khas untuk menjejak pesanan mereka secara tiba-tiba tiada dalam rekod.
Ada yang meninggalkan komen lebih daripada tiga kali dengan harapan pihak pengurusan menyedari aduan mereka itu. – KOSMO! ONLINE