PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan susulan menerima maklumat berhubung pembayaran rasuah dan penyelewengan melibatkan syarikat Sapura Energy Berhad.
Menurut sumber, siasatan itu berdasarkan siasatan awal dibuka SPRM pada penghujung 2023 turut melibatkan tuntutan-tuntutan yang dibuat membabitkan syarikat berkenaan.
“Dua kertas siasatan ini dibuka menjurus kepada kegiatan pengubahan wang haram dan penyelewengan melibatkan tuntutan sekitar tahun 2018 ketika syarikat itu dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad.
“Selain jenayah rasuah, siasatan juga akan memberi fokus kepada isu kelemahan tatakelola dan kelemahan pengurusan,” katanya kepada Kosmo!, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan berkata, kertas siasatan dibuka dibawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001. – KOSMO! ONLINE