LONDON – Polis Britain menahan seorang lelaki selepas barang curi bernilai kira-kira £50,000 (RM288,000) termasuk pek daging ditemui di rumahnya, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Polis menyerbu kediaman suspek yang dikenali sebagai Mark Emery, 62, di bandar Cambridgeshire, England baru-baru ini dan menemui sejumlah barang curi.
“Selepas dimaklumkan mengenai kejadian mencuri kedai di pusat bandar pada minggu lalu, pengendali sistem televisyen litar tertutup (CCTV) membantu anggota kami menjejaki seorang lelaki ke sebuah rumah di Park Road,” demikian menurut hantaran polis di Facebook.
Apabila anggota-anggota polis masuk ke dalam rumah suspek untuk mencari 28 tiub ubat gigi yang dilaporkan dicuri dari Poundland, mereka menemui lebih banyak barangan curi.
Polis berkata, mereka menemui barang curi dianggarkan bernilai £50,000 di dalam rumah suspek termasuk 21 pek isi ikan salmon, sejumlah daging, 50 botol gel mandian, pakaian, kasut, beg berjenama, barangan elektrik, tujuh set Lego dan rangkaian produk kecantikan.
Seorang jurucakap polis mengesahkan bahawa Emery telah ditangkap dan didakwa berhubung jenayah menyimpan dan mengendalikan barangan curi, lapor portal berita SWNS. – AGENSI