PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beredar keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, selepas enam jam dirakam keterangan sejak pagi tadi.
Kenderaan yang membawa Ismail Sabri keluar dari bangunan SPRM di sini, kira-kira pukul 5.42 petang tadi diiringi kenderaan pengiring polis.
Menurut sumber, sesi rakaman keterangan itu dijangka disambung semula pada Isnin ini.
Terdahulu, Ismail hadir pada 8.46 pagi tadi bagi dirakam keterangan berhubung kes rasuah serta pengubahan wang haram dihadapinya dan kemudian keluar pada 12.30 tengah hari untuk solat Jumaat.
Ismail Sabri mula disiasat oleh SPRM pada Januari 2024 berkaitan perbelanjaan publisiti kerajaan semasa pentadbirannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan pada Januari 2024 mengenai kemungkinan salah laku melibatkan perbelanjaan kira-kira RM700 juta untuk publisiti kerajaan.
Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, wang tunai RM170 juta dengan pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas ditemui di sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan ‘safe house’ oleh pembantu kepada Ismail Sabri. – KOSMO! ONLINE