MOSCOW – Seorang ahli politik Russia terbunuh akibat diserang seekor Harimau Siberia di dalam hutan, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Andrey Kovera, 55, mati selepas haiwan itu mencabut lengan, membaham kepala dan memakan organ dalamannya dalam kejadian ngeri di rantau Siberia, Russia.
Anak lelakinya yang dikenali sebagai Konstantin berkata: “Bapa saya bekerja sebagai pegawai hutan selama bertahun-tahun dan tahu bagaimana berdepan dengan binatang buas.”
“Namun, harimau ini menyerangnya dari belakang.”
Pihak berkuasa dikerahkan untuk memburu harimau ganas yang menyerang ahli politik tersebut.
Pakar harimau Russia terkemuka, Sergey Aramilev berkata: “Saya tidak dapat meramalkan bila harimau ini akan ditangkap.”
“Ada tanda-tanda kecederaan pada harimau ini tetapi kami akan tahu dengan pasti selepas binatang buas ini masuk perangkap,” katanya
Harimau Siberia merupakan spesies kucing besar terbesar di dunia dan hidup di timur Russia. – AGENSI