DUNGUN – Dua wanita meneruskan tradisi menjual kuih penganan warisan keluarga yang hanya boleh didapati pada bulan Ramadan di Kampung Jerangau Sungai di sini.
Rohimie Ismail@Nik, 54, berkata, dia dan kakak iparnya, Maziah Che Ismail, 56, menjual kuih resepi arwah ibunya, Maznah Embong pada bulan puasa sejak 30 tahun lalu.
“Kuih penganan resipi arwah ibu saya manis berlemak dan lembut kerana menggunakan banyak telur ayam,” katanya ketika ditemui semalam.
Kuih penganan diadun menggunakan tepung beras, gula, santan dan dimasak menggunakan acuan tembaga.
“Ia akan dibakar di atas bara api selama 20 minit. Setiap hari kami hadkan pembuatannya 70 biji sahaja,” katanya.
Kuih penganan yang dimasak dengan teliti mampu bertahan selama dua hari.
Jelas wanita itu, harga kuih tersebut terpaksa dinaikkan 50 sen iaitu RM13.50 sebiji ekoran lonjakan harga santan.
Sementara itu, pelanggan, Mohd. Aidil Karim, 54, berkata, walaupun mengalami kenaikan harga, kuih penganan air tangan Maziah dan Maznah masih berbaloi dibeli kerana rasanya enak dan saiz besar.
“Sebiji penganan boleh dimakan seramai 10 orang. Saya sanggup memandu 30 kilometer dari Dungun untuk membeli kuih ini,” katanya.