PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengeluarkan 300 Lesen Perubahan Sementara kepada pengusaha bas ekonomi yang berminat bagi menampung permintaan pada musim perayaan.
APAD dalam satu kenyataan berkata, tiada tambang siling dikenakan bagi bas eksekutif, namun bagi bas ekonomi ia dikawal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan had tambahan 10 peratus pada musim perayaan.
Katanya, perkhidmatan jenis ekonomi menyediakan bas berhawa dingin yang dilengkapi kemudahan asas, manakala perkhidmatan jenis eksekutif menawarkan keselesaan kepada penumpang.
“APAD melaksanakan pemantauan rapi pada musim raya ini bagi memastikan pengendali bas mematuhi jadual tambang yang ditetapkan.
“Melalui pemantauan ini, kita mendapat maklum balas wujudnya kekeliruan. Ada pengguna yang ingin membeli tiket ekonomi tapi memilih tiket eksekutif yang harganya lebih tinggi kerana maklumat kurang jelas sewaktu pembelian,” katanya.
Menurut kenyataan itu, perkhidmatan eksekutif menawarkan keselesaan kepada penumpang dengan tempat duduk lebih luas, lampu baca, minuman dan makanan ringan, kerusi sandar dilengkapi dengan tempat meletak makanan, televisyen dan pemain multimedia digital.
“Susulan ini, APAD mengeluarkan arahan supaya pusat penjualan tiket berpusat termasuk dalam talian dan kaunter memaparkan secara jelas sama ada tiket yang dijual ekonomi atau eksekutif agar pengguna boleh memilih perkhidmatan setimpal dengan harga yang dibayar.
“Memandangkan semakan jadual tambang terakhir adalah lebih 11 tahun lepas iaitu September 2013, APAD akan menyemak dasar dan peraturan sedia ada termasuk pengenalan tambang siling untuk perkhidmatan eksekutif,” katanya.
Tamabhnya, semakan dasar dan peraturan tersebut memerlukan sedikit masa kerana melibatkan pindaan kepada perundangan.
“APAD ingin mengingatkan pihak pengendali untuk mematuhi jadual tambang sedia ada.
“Kegagalan untuk mematuhi jadual tambang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan tindakan Penggantungan atau Pembatalan lesen pengendali,” katanya. – KOSMO! ONLINE