MAKAN hati nampaknya kaki drama yang meminati aktor Ben Amir apabila difahamkan dia kini sudah tinggal di sebuah pulau di Filipina.
Pelakon berusia 34 tahun itu sendiri yang berkongsi mengenai keputusan meninggalkan negara ini untuk memulakan hidup baru di sebuah pulau bernama Siargao.
Mula-mula Diva sangka Ben bergurau, tetapi dalam saluran YouTubenya itu dia memperincikan rancangan besarnya dengan teruja.
Jadi takkanlah dia mahu prank peminat apabila mendedahkan hasrat yang pasti sudah diputuskan sekian lama.
Malah pelakon drama Sweet Dream itu turut berhajat membina kediaman serta memulakan perniagaan tempat penginapan di sana.
Bagaimanapun, Ben berkata buat masa ini dia sedang biasakan diri dengan kehidupan di pulau serta mempelajari budaya masyarakat setempat.
Alahai, kenapa Diva pula yang rasa sedih? Apa pun semoga impian Ben jadi kenyataan tapi adakah itu bermakna dia mahu berundur sebagai pelakon?
Diva: Takut dengan drama berkonsepkan kaki sekarang. Sentuh janggut dengan kaki, minum air cuci kaki, cium kaki. Macam-macam!