MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim memuji impak kaptennya, Bruno Fernandes selepas muncul wira membantu pasukan lolos ke suku akhir Liga Europa menewaskan Real Sociedad dengan agregat 5-2 awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Old Trafford itu, Fernandes mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri dengan meledak jaringan hatrik untuk mengesahkan kemenangan 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada pusingan pertama minggu lalu.
Menurut Amorim, apa yang dilakukan oleh Fernandes ketika ini cukup sempurna kerana dia sentiasa membantu pasukan keluar daripada zon kesukaran dan kini adalah masa untuk pemain membalas jasanya dengan menjulang trofi bermakna musim ini.
“Setiap kali kita berdepan masalah, Fernandes akan sentiasa ada bersama pasukan dan dia bukan sahaja hebat menerusi situasi set-piece, tetapi dia juga boleh menjaringkan gol dan membantu pertahanan.
“Bagi saya, dia adalah pemain yang sempurna dan kita semua terdesak untuk membantunya menjulang kejayaan kerana dia berhak untuk rasa dihargai.
“Pujian juga wajar diberikan kepada penyokong setia kami yang meneruskan momentum sokongan ketika bertemu Arsenal minggu lalu untuk menaikkan semangat pasukan pada kali ini,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan The Red Devils, Patrick Dorgu menyeru pasukan waspada dengan ancaman yang boleh diberikan Olympique Lyon pada aksi suku akhir bulan depan.
“Lyon adalah pasukan yang bagus dengan memiliki ramai pemain berkuali. Ia bakal jadi pertarungan yang sengit dalam usaha memburu slot ke separuh akhir,” katanya. – AGENSI