PETALING JAYA – Sebanyak 4,869.22 kilogram (kg) lebihan makanan bernilai RM107,190 berjaya dikumpulkan melalui program MySaveFood sempena kempen sifar sisa @ Bazar Ramadhan setakat 12 Mac lalu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan di muat naik di Facebook berkata, semua makanan itu kemudian disalurkan kepada golongan yang memerlukan untuk mengelakkan pembaziran.
“Melalui program ini, DBKL menyasarkan 10,000 kg lebihan makanan dapat diselamatkan daripada dibazirkan dengan mengedarkannya kepada golongan memerlukan.
“Selain membantu yang kurang berkemampuan, inisiatif ini dapat mengurangkan kos pengurusan sisa serta mengelakkan sisa makanan dihantar ke tapak pelupusan,” kata DBKL.
Menurut DBKL, program MySaveFood berlangsung dari 5 hingga 16 Mac 2025 di 12 lokasi bazar Ramadan terpilih di sekitar Kuala Lumpur.
Kata DBKL, lokasi terlibat adalah bazar Jalan Wangsa Delima di Wangsa Maju, bazar Sri Rampai, bazar Wangsa Maju Jalan 3/27A Seksyen 1 dan bazar TLK Taman Tasik Permaisuri.
“Lokasi lain adalah bazar TLK Hadapan UTC Sentul, bazar Pusat Penjaja Bazaria Pantai, bazar Kampung Baru Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Uda, Bazar Jalan Dato Senu 18 di Taman Dato Senu, Bazar Danau Kota Jalan 3A/6, 4A/6, dan 5A/6 di Taman Setapak Indah serta Bazar Jalan 1/76C dan 3/76D di Desa Pandan,” kata DBKL. – KOSMO! ONLINE