MELAKA – Seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak Januari lalu berjaya diberkas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada awal pagi Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek yang bergerak secara bersendirian itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Batu 2, Kampung Pasir Puteh, Bachang pada pukul 1.25 pagi.
“Hasil siasatan mendapati suspek telah melakukan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di kawasan perumahan sunyi sekitar Melaka Tengah.
“Suspek yang merupakan seorang penganggur menjadikan jenayah sebagai cara mudah mendapatkan wang untuk kegunaan harian dan membeli dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.
Menurut Christopher, antara kes yang dikaitkan dengan suspek adalah kejadian pecah rumah pada 19 Mac tahun lalu di Jalan Tun Sri Lanang, Pengkalan Rama Tengah. Dalam kejadian itu, pengadu yang baru pulang dari tempat kerja mendapati pintu rumah serta jeriji telah diumpil sebelum mendapati telefon bimbit dan barang kemas miliknya telah hilang.
Tambahnya, modus operandi suspek adalah menyasarkan rumah-rumah di kawasan perumahan sunyi pada waktu antara pukul 1 pagi hingga 6 pagi.
“Hasil risikan mendapati suspek baru sahaja dibebaskan dari penjara berkaitan kes dadah pada Januari lalu sebelum kembali aktif melakukan jenayah. Dengan penahanan suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di daerah ini dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai RM12,800,” katanya. – KOSMO! ONLINE