JOHOR BAHRU – Dua rakan yang sebelum ini berdepan hukuman mati akibat didakwa terlibat mengedar dadah seberat lebih 32.15 kilogram (kg) lima tahun lalu dibebaskan Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Kan Weng Hin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Muhammad Aufa Bonadi, 28, dan Abbas Ahmad, 35, di akhir kes pendakwaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua rakan itu didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 32,152.28 gram dalam sebuah bot bersebelahan inap desa di Jalan Selar, Telok Sengat, Kota Tinggi, pada pukul 12.10 tengah hari, 22 Mei 2020.
Mereka didakwa mengikut mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Weng Hin dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat kedua-dua tertuduh tidak mempunyai hubungan dengan bot di inap desa tersebut yang mana dadah ditemui dan sesiapa sahaja boleh mengakses bot yang diletakkan di kawasan lapang itu.
“Bot ditinggalkan di kawasan berkenaan pada 18 Mac 2020 oleh seorang warga Indonesia. Negara kemudian melaksanakan perintah ‘lock down’ dan hanya dua bulan selepas itu kedua-dua tertuduh datang ke ‘homestay’ itu pada 19 Mei 2020.
“Kawasan itu tidak berpengawal, tiada pagar dan bot berada di kawasan lapang jadi sesiapa sahaja boleh akses kepada bot yang diletakkan di situ selama dua bulan. Tiada bukti yanh menunjukkan kedua-dua tertuduh berada di lokasi sebelum itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE