KUALA LUMPUR – Keluarga mangsa pemerdagangan manusia yang berjaya diselamatkan di Kemboja berharap anak-anak mereka dapat pulang ke pangkuan pada Ramadan atau Aidilfitri ini.
Seorang bapa mangsa yang ingin dikenali sebagai Hisham, 64, bapa kepada seorang mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja, menzahirkan harapannya agar anak tunggalnya yang berusia 26 tahun dapat pulang segera, lebih-lebih pada bulan suci ini.
“Saya berharap sebelum raya, kalau boleh esok sudah boleh balik. Ramadan ini sangat bermakna kerana saya sedang menunggu kepulangan anak saya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dia yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pendengaran, berkata, anak perempuannya sebelum ini bekerja dengan sebuah persatuan pekak di Perak, pergi ke Kemboja pada Julai tahun lalu dengan niat mencari pengalaman dan membantu keluarga.
Namun, Hisham mula menyedari sesuatu yang tidak kena selepas dia menerima pesanan mesej daripada anaknya meminta bantuan untuk diselamatkan pada bulan lepas.
Sementara itu, sorang ibu mahu dikenali Habibah, 50-an yang dua anak perempuannya berusia dalam lingkungan 30-an turut menjadi mangsa di Kemboja, berkata anak-anak serta menantu pada awalnya dijanjikan kerja di sebuah kapal dengan kontrak selama enam bulan.
Namun, apabila tempoh itu tamat mereka tidak dibenarkan pulang sebaliknya kontrak dilanjutkan setiap bulan.
Ujarnya, situasi bertambah buruk apabila anak sulungnya, yang mempunyai masalah tiroid dan hati didera sehingga dimasukkan ke hospital kerana gagal mencapai sasaran yang ditetapkan majikan.
“Saya sangat berharap anak-anak serta menantu dapat pulang ke pangkuan keluarga, terutama pada raya nanti. Mereka sudah menderita cukup lama,” jelasnya.
Kedua-dua anak Habibah kini berada di pusat tahanan sementara di Kemboja selepas berjaya diselamatkan dua hari lalu, namun masih belum pasti bila mereka dapat pulang ke tanah air.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Cheu (mualaf), 47, yang baru diselamatkan dari Myanmar pada 19 Februari lalu, bersyukur dapat menjalani Ramadan tanpa perlu melalui detik hitam dalam hidupnya.
“Saya terperdaya dengan iklan tawaran pinjaman wang di Facebook pada Januari lepas dan dimaklumkan akan terima wang pinjaman dalam tempoh tiga hari bekerja.
“Namun, bila sampai di Myanmar, saya dijual pada harga 30,000 Baht (RM3,900) dan dipaksa menjadi scammer biarpun tidak mahir menggunakan komputer,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata seramai lima mangsa pemerdagangan manusia kini ditempatkan di pusat perlindungan di Kemboja bakal pulang ke Malaysia, dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE