SHAH ALAM – Seorang guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan membantu mendapatkan kontrak fasiliti sekolah untuk syarikat adiknya, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Zaini Miskon, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mohd. Zaini didakwa telah menggunakan kedudukannya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan untuk mendapatkan suapan bagi membantu syarikat adiknya untuk mendapatkan kontrak fasiliti sebuah sekolah pendidikan khas.
Ini termasuk kerja membaiki bumbung dewan terbuka, laluan pejalan kaki dan astaka bernilai RM48,050.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah SK Pendidikan Khas sekitar negeri ini pada 8 Julai 2023 dan kesalahan itu mengikut Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Timbalan Pendakwa Raya, Atirah Mohd. Azuarizanuddin mencadangkan jaminan RM30,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM.
Mohd. Zaini yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan ekoran menanggung ibu, isteri dan empat orang anak.
“Malah isteri baru sahaja disahkan menghidap barah payudara. Pendapatan bulanan saya RM8,000 dan masih lagi bertugas. Jadi, harap kurangkan jaminan kepada RM5,000,” katanya. Sebutan semula kes ditetapkan 21 April depan. – KOSMO! ONLINE