PETALING JAYA – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) menyerahkan sumbangan Simpanan Pendidikan Madani berjumlah RM189,400 kepada 3,788 murid tahun satu dalam kalangan anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi sesi persekolahan 2025/2026.
Sumbangan ini melibatkan anak-anak tentera daripada tiga cabang perkhidmatan ATM, iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
YLTAT dalam kenyataan memaklumkan, setiap murid akan menerima RM50 yang bakal dikreditkan terus ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mereka, sebagai langkah awal membudayakan simpanan pendidikan dalam kalangan keluarga ATM.
“Dengan inisiatif ini, YLTAT berharap dapat memberikan sokongan yang kukuh kepada keluarga anggota ATM dalam memastikan masa depan pendidikan anak-anak mereka terus terjamin.
“Sumbangan ini juga selaras dengan aspirasi YLTAT untuk menjadi peneraju dalam memperkasa pendidikan dan kebajikan warga ATM,” katanya.
Inisiatif Simpanan Pendidikan Madani adalah hasil kerjasama strategik antara YLTAT dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada baru-baru ini.
Dalam kenyataan sama, YLTAT yakin bahawa inisiatif ini akan meningkatkan ketersediaan simpanan pendidikan berkualiti serta berkesan bagi keluarga ATM.
“YLTAT percaya usaha ini bukan sahaja dapat memperkukuh perancangan kewangan anak-anak warga ATM, tetapi juga memberi kumpulan sasar ini peluang yang lebih baik untuk melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi kelak tanpa bimbang tentang cabaran kewangan,” katanya.
Dalam satu majlis berbuka puasa bersama anggota TDM, TLDM, dan TUDM di beberapa kem dan pangkalan tentera baru-baru ini, Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin, telah menyerahkan replika cek sumbangan Simpanan Pendidikan Madani kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YLTAT.
Cek tersebut kemudiannya diserahkan kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan masing-masing.
“YLTAT terus komited dalam memberikan sokongan penuh terhadap usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan dan ATM dalam memperkasa kebajikan serta pendidikan anak-anak anggota ATM,” katanya. – KOSMO! ONLINE