RANTAU PANJANG – Seorang lelaki dicekup selepas merentas Sungai Golok dari Thailand dengan menaiki sebuah bot di pangkalan haram Pak Su Rani di sini semalam.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 pagi sebaik sahaja menjejakkan kaki di kawasan pangkalan haram tersebut.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA mengesan sebuah bot dari Thailand menghampiri kawasan tebing Sungai Golok di sempadan negara ini semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Menurutnya, pengendali bot itu bertindak melarikan diri dan meninggalkan penumpangnya selepas menyedari kehadiran anggota PGA.

“Pemeriksaan mendapati, suspek merupakan warga tempatan yang didapati masuk ke negara ini melalui pangkalan haram.
“Lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Pasir Mas di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurutnya, PGA akan terus mempergiat usaha mengekang kegiatan rentas sempadan secara haram daripada terus berleluasa. – KOSMO! ONLINE