fbpx

Sindiket PTW kaut lebih RM600,000 dalam 13 hari PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Polis Selangor mendedahkan sebanyak 51 kes penipuan pinjaman wang tidak wujud (PTW) dengan kerugian RM617,758 dicatatkan dalam tempoh 13 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding 41 kes dengan nilai kerugian RM547,686 dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sindiket didapati menggunakan pelbagai medium media sosial termasuk Facebook, Instagram dan aplikasi WhatApps dengan membuat tawaran pinjaman dengan kadar yang kompetitif berbanding institusi kewangan berdaftar.

Difahamkan kebanyakan mangsa merupakan para peniaga.

“Mangsa akan diarahkan membuat bayaran wang proses terlebih dahulu sebelum mendapatkan pinjaman yang dipohon.

“Mangsa hanya sedar ditipu selepas mendapati sindiket gagal dihubungi selepas melakukan pembayaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Muhammad Yazid, pihaknya setakat ini berjaya menangkap 14 individu dan menyelesaikan 31 kes PTW.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berurusan membuat pinjaman wang terutama secara dalam talian.

“Semakan perlu dibuat menerusi institusi kewangan berdaftar yang menawarkan pakej pinjaman sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Orang ramai turut boleh membuat semakan menerusi aplikasi SemakMule CCID atau melayari laman sesawang www.cid.rmp.gov.my bagi urusan melibatkan akaun bank dan nombor telefon,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI