KULAI – Johor merekodkan jumlah pelupusan sisa makanan di bulan Ramadan dengan anggaran sebanyak 3,223 tan setiap hari dalam tempoh minggu pertama puasa.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, jumlah itu mencatatkan penurunan sisa makanan dilupuskan berbanding 4,559 tan dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, program anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama rakan strategik sejak 2015 untuk mengurangkan pembaziran makanan dan jumlah sisa makanan yang dilupuskan ke tapak pelupusan berjaya menampakkan hasilnya.
“Pengurangan pelupusan sisa makanan ini menunjukkan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran (VFNW) sempena bulan ramadan berjaya mendidik masyarakat untuk elak pembaziran makanan.
“Kejayaan kempen ini turut disokong oleh program MySaveFood@Ramadan yang mana SWCorp bersama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia mengedar juadah tak terjual di bazar Ramadan ke masjid, sekolah dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sesi libat urus VFNW bertemakan Cabaran Sebulan Tanpa Pembaziran sempena Ramadan di bazar Ramadan Jalan Merbau, Bandar Putera, di sini semalam. Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khaled Mohamed dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin.
Mengikut data tahun lepas, program MySaveFood@Ramadan 2024 telah berjaya menyelamatkan sebanyak 1,339 kilogram lebihan makanan daripada 35 bazar Ramadan di negeri ini. – KOSMO! ONLINE