fbpx

‘Saya ada 50,000 gambar, terlalu banyak momen dengan ibu tiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shila mendedahkan belum bersedia berbaik dengan kawan baik yang kini merupakan ibu tirinya.

PETALING JAYA – Belum bersedia, penyanyi Shila Amzah mengakui masih memerlukan ruang dan masa bagi menerima ibu tiri yang juga kawan baiknya.

Bagaimanapun, Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 35, memaklumkan perkara tersebut tidak menjejaskan hubungan dengan bapanya iaitu Datuk ND Lala yang juga seorang penyanyi.

“Kami (Shila dan ibu tiri) belum pernah berhubung lagi dan saya tak bersedia lagi. Kalau dengan ayah sudah tentu berhubung, dia pun selalu hubungi saya.

“Hubungan anak beranak pergi ke mana pun tak akan putus kerana tidak melibatkan sesuatu perkara yang teruk sangat hingga membuatkan tidak boleh kembali bersama keluarga.

“Saya dan ayah pun akan berbuka puasa bersama pada hujung minggu ini,” katanya kepada Kosmo! Online pada Majlis Tayangan Perdana Raya Astro 2025 di sini, baru-baru ini.

Dalam masa sama, pelantun lagu Patah Seribu itu reda menerima takdir kedua ibu bapanya yang memilih haluan masing-masing walaupun masih terkejut dengan pilihan hati bapanya.

“Sejujurnya saya okey sebab cinta tidak boleh dipaksa, kalau ibu bapa tak bahagia kenapa nak paksa demi anak-anak.

“Bagi saya, biarlah masing-masing cari bahagia mereka.

“Cuma pada saya terkejut dengan siapa pilihannya. Itulah suratan dan takdirnya,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Shila mengakui banyak kenangan bersama ibu tiri selepas membelek galeri foto.

“Gambar dia masih ada sebab terlalu banyak, saya ada lebih 50,000 foto.

“Saya nak cari gambar saya di China dan ternampak gambar dengannya,” jelasnya lagi.

Sekitar awal 2023, Shila pernah memuat naik hantaran mencari seorang wanita tanpa menjelaskan punca atau sebab.

Tulisnya dalam ruangan kapsyen, individu berkenaan merupakan rakan baiknya ketika belajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.

Tidak lama selepas itu, media melaporkan seorang penyanyi dan pelakon lelaki popular era 80-an didakwa bernikah lagi satu secara rahsia.

Khabar angin mendakwa ND Lala atau Datuk Amir Amzah Salleh, 63, sudah menikahi wanita yang jauh lebih muda daripadanya sebagai isteri kedua.

Bapa empat anak itu kemudian menceraikan Fauziah pada 8 Ogos tahun lalu atas alasan tiada persefahaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI