PETALING JAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan satu kenyataan berhubung kelulusan kewarganegaraan yang didakwa dibuat oleh beliau.
Menurut beliau, perbuatan tidak bertanggungjawab itu sangat bahaya dan mampu mengganggu-gugat keselamatan serta keamanan rakyat.
“Kelulusan kewarganegaraan adalah tertakluk peruntukan oleh Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub sejak sekian lama dan saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dalam gambar fitnah tersebut.
“Sepanjang tahun lepas, saya telah banyak memberikan penjelasan tentang isu kewarganegaraan ini, namun masih ada lagi pihak membuat fitnah dengan permainan sentimen berbaur agama, kaum dan institusi diraja (3R),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Gambar itu mendakwa Menteri Dalam Negeri berkata: “Saya meluluskan kewarganegaraan pendatang Cina itu hak saya, rakyat tidak boleh pertikaikan, saya yang berkuasa bukan rakyat”
Saifuddin Nasution berkata, beliau menggesa rakyat mendapatkan maklumat daripada sumber yang betul tepat dan sah sebelum berkongsi sesuatu hantaran seperti itu.
Beliau turut mengingatkan bahawa menularkan fitnah dan berita palsu tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang. – KOSMO! ONLINE