fbpx

Video kelepuk raya: Aliff Syukri diperintah bela diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aliff Syukri ketika hadir di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

SEPANG – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang kelepuk raya tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie pada akhir kes pendakwaan itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Fuad berkata, video yang dimuat naik itu adalah tidak sopan ketika bulan Ramadan, yang mana bulan umat Islam berpuasa dan harus dihormati.

Sepanjang prosiding, Aliff Syukri diwakili peguam bela, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Mohd. Radzlan Jalaludin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin.

Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini satu muzik video lagu raya berdurasi 5 minit 23 saat pada 2022 menjadi kontroversi apabila memaparkan aksi keterlaluan beberapa orang penari lelaki lembut yang disifatkan mencemari sambutan perayaan Aidilfitri serta mempunyai elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI