KLANG – Berkuku panjang dan tidak mendapatkan suntikan antitifoid seperti yang diwajibkan pihak berkuasa antara 41 kesalahan yang dikesan ke atas peniaga bazar Ramadan di Kuala Selangor setakat kelmarin.
Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Yusli Askandar berkata, pihaknya dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKDKS) menjalankan pemeriksaan ke atas lapan bazar sejak 2 Mac lalu.
Katanya, pelaksanaan operasi melibatkan 965 pengendali makanan di 693 petak niaga itu memberi tumpuan kepada aspek pematuhan peraturan kebersihan dan kesihatan makanan.
“Sepanjang 11 hari Ramadan, pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan peniaga seperti berkuku panjang, tiada suntikan antitifoid dan tidak memakai apron, topi serta kasut.

“Selain itu, Jabatan Penguatkuasaan MPKS mengeluarkan sebanyak 33 kompaun ke atas peniaga yang tiada memiliki lesen perniagaan,” katanya ketika ditemui pada program Nur Ramadan: Menyantuni Media dan Pendayung Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan di sini, malam tadi.
Tambah beliau, pensampelan makanan di bazar turut diambil untuk dianalisis bagi memastikan ia selamat dimakan dan bebas pencemaran berbahaya. – KOSMO! ONLINE