SEPANG – Tiga penjenayah warga asing ditembak mati polis dalam kejadian di Desa Vista, Sepang awal pagi tadi.
Ketiga-tiga penjenayah lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun itu dilaporkan terbabit dalam 17 kes samun dan pecah rumah di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak awal tahun lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek sebelum itu dikatakan bersembunyi di kawasan hutan selepas cuba menyamun sebuah rumah berhampiran di Desa Vista.
Beliau berkata, suspek ini dikesan selepas alat penggera keselamatan rumah berbunyi sebelum pemiliknya menyedari kelibat individu bersenjata parang dan bertopeng.
“Pemilik rumah kemudian telah menghubungi polis sebelum gerakan menjejaki suspek dilakukan,” katanya.
Katanya, suspek ini dianggap ganas dan berbahaya kerana tidak teragak-agak mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka.
Fadil berkata, berdasarkan maklumat risikan, kumpulan penjenayah ini dipercayai terdiri daripada lima individu dan baki ahli kumpulan sedang dikesan.
Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek bergiat aktif dalam jenayah samun dan pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta. – KOSMO! ONLINE