KOTA BHARU – Lebih 70,000 ekor lembu diseludup melalui laluan haram di empat negeri yang berada di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang tahun lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyeludupan lembu dikesan berlaku di Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis sekali gus menjejaskan kebanyakan penternak haiwan tersebut di keempat-empat buah negeri itu.
Menurutnya, kegiatan penyeludupan yang terlalu banyak turut menyebabkan harga daging lembu jatuh dan risiko haiwan tersebut terdedah kepada pelbagai penyakit.
“Sebanyak lebih 70,000 ekor lembu diseludup ke negara ini pada tahun lalu dan ia sememangnya menjejaskan penternak tempatan kerana harga daging lembu terlalu murah.
“Harga daging lembu di Kelantan hanya RM25 sekilogram manakala di tempat lain pula mencecah RM40,” katanya ketika ditemui pemberita pada Iftar Menteri Bersama Warga KPKM Inc. dan Santuni Dhuafa @ Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, penyeludupan dan bekalan yang ada ketika ini di Kelantan dan Kedah turut menyebabkan penternak tempatan tidak dapat bersaing daripada aspek harga dengan kedua-dua negeri itu.
Menurutnya, sehubungan itu, kementerian yang bertanggungjawab menjaga sempadan negara perlu lebih tegas dalam membanteras kegiatan penyeludupan lembu. – KOSMO! ONLINE