TIADA pemain warisan baharu yang berada dalam senarai 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski untuk latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula Isnin ini.
Bagaimanapun, bintang Selangor FC, Faisal Halim yang tersisih untuk tempoh lama ekoran insiden simbahan asid kembali mendapat kepercayaan apabila Cklamovski turut menyenaraikan namanya pada sesi kali ini.
“Proses pemain warisan kini berada di peringkat akhir di mana saya fikir berita positif akan datang minggu depan. Saya mahu katakan, pemain warisan adalah apabila mereka diumumkan sebagai pemain Malaysia.
“Siapa pun yang bermain atas padang mereka adalah pemain Malaysia. Saya tidak berada dalam sebahagian daripada proses, namun daripada apa saya faham kertas kerja kini sudah pun berada pada fasa akhir di peringkat kerajaan.
“Apabila pemain tiba, pengumuman akan dibuat dan mungkin minggu depan,” katanya.
Cklamovski kini sedang merangka persiapan lebih baik untuk ketuai Harimau Malaya menentang Nepal pada aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac nanti.
Cklamovski menjelaskan pemilihan kali ini dibuat selepas beliau dan barisan kejurulatihan membuat penilaian secara terperinci selepas menghadiri beberapa perlawanan pertandingan tempatan.
“Saya dan kakitangan saya sudah pun menghadiri banyak perlawanan, kami juga turut melihat daripada rakaman video. Saya begitu teruja untuk memulakan kem latihan kali ini dan memulakan kerja untuk memastikan pasukan kebangsaan mampu beraksi baik,” katanya.