HAMPIR dua dekad menunggu sekuel filem Impak Maksima, penantian pengarah filem aksi permotoran itu, Ahmad Idham terasa berbaloi menyaksikan keterujaan dan reaksi awal khalayak terhadap Impak Maksima 2 yang kini hanya menunggu detik ke pawagam tidak lama lagi.
Sarat babak mendebarkan dengan penggunaan lebih 100 jentera terutama kereta drift, Ahmad Idham atau nama lengkapnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyifatkan penantian menunggu kisah susulan itu cukup mendebarkan.
Mengambil masa 18 tahun untuk tampil dengan sekuel kedua, Idham berkata, dia sebenarnya menanti bajet yang besar bagi merealisasikan filem yang pernah mencetuskan fenomena tersebut.
“Sebenarnya, skrip filem ini sudah dihasilkan hampir dua tahun. Bila penerbit daripada Screen Studio Sdn. Bhd. yang juga kawan saya rancang nak buat filem berbajet besar dan sanggup keluarkan RM3 juta, saya terus beritahu mahu buat Impak Maksima 2.

“Menariknya filem ini bukan mengenai gangsterisme, sindiket atau polis tetapi berkisar dunia bidang permotoran yang memerlukan jentera perlumbaan serta ramai ‘stuntman’ kerana kita mahukan hasil yang hidup.
“Cabaran pastinya untuk merealisasikan adegan ‘drift’ di tengah bandar raya termasuk di Bukit Bintang dan Johor Bahru membabitkan kereta terbalik serta terbakar, tiada pengulangan,” katanya.
Idham juga bersyukur kerana mendapat sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan lokasi penggambaran merupakan tarikan pelancong.
“Kita memang jalani penggambaran di jalan raya dan lokasi tumpuan ramai. Jadi keselamatan orang awam turut diambil kira. Tidak boleh ada kesilapan atau kecuaian,” katanya.
Demi hasil terbaik, sutradara berusia 51 tahun itu sanggup berhabis RM200,000 bagi merealisasikan babak kereta drift terbakar hanya untuk adegan berdurasi satu minit setengah dalam filem Impak Maksima 2.
Tambahnya, seperti dijanjikan, kisah kesinambungan naskhah aksi pertama terbitan 18 tahun lalu itu sarat elemen dramatik yang digarap semula jadi, bukan menerusi teknik janaan imej (CGI).
“Babak kereta drift dilanggar lori sehingga terbakar menjalani penggambaran selama dua hari membabitkan kos keseluruhan yang tinggi.
“Ini kerana sebuah kereta sahaja sudah berharga RM50,000, tidak termasuk lori, bayaran pelakon lagak ngeri dan anggota keselamatan demi menghasilkan babak berkenaan.

“Kami sanggup keluarkan kos besar untuk babak berdurasi seminit lebih kerana perlukan aksi drift yang mampu menarik penonton ke pawagam,” katanya ketika majlis kesyukuran Impak Maksima 2, di Saloma, baru-baru ini.
Kata Idham, pendekatan promosi menerusi laman sosial dengan berkongsi siaran langsung babak belakang tabir filem terbabit turut meninggalkan impak.
“Buktinya belum pun ditayang, video belakang tabir kereta drift terbakar di Jalan Bukit Bintang sudah tular dengan mencecah hampir sembilan juta tontonan dalam TikTok.
“Saya tidak sangka ramai teruja menantikan filem sekuel Impak Maksima ini. Mungkin kerana filem ini turut diangkat drama bersiri yang tular di TV3 kemudian dibawa ke Istana Budaya,” ujarnya.
Mengambil masa sebulan penggambaran, naskhah menyaksikan gandingan mantap Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli dan Fad Bocey akan menemui penonton pada Julai ini.