MARANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah rumah yang disyaki menjadi tempat penyimpanan mercun dan bunga api secara haram di Kampung Paya Resak, Bukit Payung, di sini, semalam.
Serbuan pada pukul 11.30 pagi berkenaan berjaya menjumpai 81 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang bernilai keseluruhan RM202,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, serbuan menerusi Op Taring Charlie dijalankan sepasukan anggota Batalion 9 PGA setelah menerima maklumat daripada orang awam.
Beliau berkata, siasat awal mendapati rumah terbabit telah dijadikan tempat penyimpanan mercun dan bunga api secara haram.
“Pemilik premis terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan mercun dan bunga api tersebut. Dia telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE