KUALA LUMPUR – Sebanyak 91 peratus jemaah haji telah menghantar surat penerimaan dan menerima tarikh penerbangan bagi melaksanakan ibadah haji pada musim ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Haja Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan juga masih menunggu maklum balas berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji.
“Setakat ini, 91 peratus jemaah haji Malaysia telah menghantar surat penerimaan dan menerima tarikh penerbangan masing-masing.
“Baki sembilan peratus lagi masih belum memberi jawapan. Kami berharap proses persiapan bagi mereka yang terpilih dapat berjalan lancar,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sumbangan kepada Pusat Perubatan dan Hospital 1446H/2025M di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tunku Azizah, di sini hari ini.
Katanya, setakat ini kuota rasmi jemaah haji Malaysia kekal seramai 31,600 orang dan kerajaan masih belum menerima maklum balas rasmi berhubung permohonan kuota tambahan tersebut.
“Saya telah mengutus surat kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Al-Rabiah bagi memohon tambahan kuota haji kerana terdapat 84,000 jemaah telah membuat rayuan untuk menunaikan haji tahun ini.
“Dalam jumlah tersebut, hampir 80,000 jemaah sudah bersedia untuk membayar kos haji sepenuhnya.
“Kami memahami keinginan tinggi rakyat Malaysia untuk menunaikan haji dan kerajaan akan terus berusaha mendapatkan tambahan kuota bagi memenuhi permintaan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE