KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu naik kepada 5.1 peratus tahun lalu berbanding 3.6 peratus pada tahun 2023 membuktikan Kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan kerajaan menunjukkan pencapaian memberangsangkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, peningkatan itu adalah hasil pelaksanaan Ekonomi Madani yang diperkenalkan Julai 2023.
“Kerangka ini bertujuan menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia peneraju ekonomi Asia di samping memastikan kesejahteraan rakyat dipertingkatkan secara menyeluruh.
“Pendekatan ini berpaksikan kepada tiga strategi utama iaitu menaikkan siling, penyusunan semula ekonomi bagi mencapai tahap pertumbuhan yang lebih tinggi dan daya saing global.
“Yang kedua menaikkan lantai (meningkatkan taraf hidup rakyat dengan dasar inklusif dan berkesan; dan ketiganya penambahbaikan tatakelola, memperkukuh kecekapan dan ketelusan dalam pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan awam,” katanya di ketika menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar di Dewan Negara hari ini.
Selain pertumbuhan KDNK, jumlah dagangan negara turut meningkat sebanyak 9.2 peratus kepada RM2.88 trilion, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing bersih (FDI) mencatatkan nilai RM47.4 bilion.
Kerajaan Madani komited meneruskan dasar yang mampan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal stabil dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat. KOSMO! ONLINE.