PETALING JAYA – Para peniaga di bazar Ramadan di Triana Tropicana Aman, Telok Panglima Garang mengalami trauma selepas berdepan ribut kuat, pada pukul 5 petang semalam.
Dalam kejadian buruk yang berlangsung sekitar setengah jam itu, kira-kira 30 buah khemah mengalami kerosakan selain barangan jualan para peniaga turut musnah.
Seorang peniaga pelbagai pencuci mulut, Noorul Syaqirah, 23, berkata, walaupun tahun lalu pernah terjadi ribut ketika berniaga di bazar sama, namun tahun ini adalah yang terburuk.
Menurutnya, selain khemah yang rosak dan patah, barangan jualan para peniaga juga rosak menyebabkan mereka mengalami kerugian menyebabkan ada yang terpaksa pulang dengan ‘tangan kosong’.
“Saya agak trauma sebab ketika kejadian hanya saya dan pembantu yang juga perempuan sahaja ada di gerai. Saya percaya peniaga lain juga trauma.
“Masing-masing sedaya upaya menahan khemah daripada diterbangkan ribut dan menjaga barang jualan. Habis baju basah kuyup, makanan pun rosak,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Sementara itu Fatihaa yang sedang hamil berkata, gerainya yang berada di bazar sama turut terkesan dengan cuaca buruk tersebut.
“Saya kena juga. Gerai saya di depan sekali, di tengah. Dengan bawa perutnya (mengandung) sambil menangis, barang tak payah cakap lah semua berselerah,” kongsinya di media sosial.
Sementara itu peniaga yang menggunakan profil @Maher J berkata, ribut kuat itu turut dirasai di bazar Ramadan di Kuala Langat.
“Satu Selangor. Kami di Kuala Langat pun ribut tapi tak berapa kuat sangat. Pakat pegang kanopi juga la. Tiga hari berturut-turut hujan. Jualan tak payah cakap la,” luahnya.
Semalam Kosmo! melaporkan, peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian beribu ringgit apabila barang perniagaan mereka rosak dalam kejadian ribut pada petang.
Dianggarkan kira-kira 40 khemah peniaga mengalami kerosakan selain barang perniagaan musnah akibat cuaca buruk itu. – KOSMO! ONLINE