PETALING JAYA – Pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pindaan kes mengabai anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin.
Semasa prosiding perbicaraan hari ini, Hakim Dr. Syahliza Warnoh mengarahkan pertuduhan pindaan itu dibacakan semula kepada pasangan tersebut selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tempat kesalahan.
Pertuduhan pindaan itu membabitkan dua perkataan iaitu “kawasan Blok R Apartment Idaman Damansara Damai” dan “ke kawasan sungai berdekatan”.
“Faham, mengaku tidak bersalah,” kata pasangan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira masing-masing berusia 30 tahun sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya kecederaan fizikal.
Kesalahan dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zunair, manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.
Setakat ini, seramai 23 saksi pendakwaan selesai memberi keterangan termasuk dua saksi kanak-kanak.
Prosiding bersambung pada petang ini. – KOSMO! ONLINE