JOHOR BAHRU – Empat sekawan terlepas hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan kesemua mereka daripada tuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu.
Tertuduh, T. Muniswaran , 47; P. Sugendran, 35; M. Thiyagan, 38, dan S. Arumugan, 35 dilihat tenang selepas Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membacakan keputusan itu terhadap kesemua tertuduh.
Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat ekoran pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie diakhir kes pendakwaan.
Pendakwaan telah gagal membuktikan intipati pemilikan dan pengedaran dadah bagi pertuduhan pindaan pertama dan juga pemilikan dadah bagi pertuduhan pembelaan kedua terhadap kesemua tertuduh.
Mengikut tuduhan pindaan pertama, kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 153.34 gram di sebuah rumah di Taman Muhibbah, Saleng, Kulai pada pukul 4.20 pagi, 20 Februari 2017.
Bagi pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi dihukuman mati.
Manakala bagi pertuduhan pindaan kedua, kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ketamin seberat 3.22 gram di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. – K! ONLINE