PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesan dua pusat penyembelihan ayam yang kotor dan busuk beroperasi di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
Pengarahnya, Mohd. Sabri Seman berkata, kedua-dua pusat sembelihan yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan itu mula beroperasi pada pukul 8 malam sehingga 3 pagi, setiap hari selain menggunakan khidmat pekerja warga asing.
Menurutnya, penguatkuasaan itu dilakukan menerusi Ops Pantau 2025 yang menumpukan pusat sembelihan ayam beroperasi secara haram di sekitar Cheras, dalam menangani isu penggunaan dan penipuan terhadap perbahasan halal.
“Serbuan ini dijalankan bersama Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hasil risikan KPDN Kuala Lumpur selama dua minggu berikutan terdapat maklumat berkaitan penjualan ayam standard yang meragukan di sekitar Kuala Lumpur.
“Kesalahan kedua-dua pusat sembelihan itu disyaki berlaku di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] kerana menjalankan aktiviti jualan borong ayam tanpa memiliki Lesen Barang Kawalan Berjadual yang sah.
“Bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa memiliki suatu lesen yang sah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam operasi sama, katanya, JIM Kuala Lumpur turut menahan dua puluh enam lelaki warga asing kerana gagal mengemukakan maklumat pengenalan diri.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 [Akta 155], manakala dua majikan warganegara turut ditahan dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Selain itu katanya, KPDN Kuala Lumpur bersama Jakim turut melaksanakan pemeriksaan di sebelas buah hotel di sekitar Kuala Lumpur sepanjang Ramadan.
Jelas beliau, ia bagi memastikan pematuhan oleh pihak serta pengusaha hotel tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan logo halal yang tidak sah atau tidak mendapat kelulusan daripada Jakim.
“Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, pihak kami tidak menemui kesalahan berkaitan dengan penyalahgunaan logo atau perbahasan halal.
“KPDN WPKL memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak menggunakan perbahasan halal tanpa kebenaran, tidak terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan barang kawalan dan sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN,” tambahnya.
Para pengguna turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati serta perlu menyalurkan sebarang maklumat jika mengesyaki terdapat penyalahgunaan penandaan atau perbahasan halal bagi memastikan segala penipuan dapat dibendung. – KOSMO! ONLINE