ISLAMABAD – Hampir 350 tebusan diselamatkan pada penghujung pertempuran maut antara tentera Pakistan dengan kumpulan militan yang merampas sebuah kereta api di wilayah Balochistan semalam, lapor saluran berita CNN dengan memetik sumber keselamatan.
Kumpulan pemisah di wilayah bergolak dan kaya dengan mineral itu, Tentera Pembebasan Baloch (BLA) mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut yang bermula sejak kelmarin sehingga menyebabkan berpuluh-puluh orang maut.
“Seramai 27 tebusan telah dibunuh oleh BLA,” kata sumber keselamatan dan seorang askar.
“Sekurang-kurangnya 35 militan terbunuh dalam operasi menyelamat,” tambah sumber berkenaan.
Pegawai berkata, kumpulan itu menembak kereta api Jaffar Express yang dalam perjalanan dari ibu kota Balochistan, Quetta ke Peshawar di utara, dan membawa 450 orang ketika ia melalui sebuah terowong.
Tentera Pakistan kemudian melancarkan operasi untuk bertempur dengan penyerang yang menggunakan wanita dan kanak-kanak sebagai perisai mereka, demikian menurut sumber keselamatan yang enggan mendedahkan namanya.
Seorang wanita yang menjadi mangsa menggambarkan situasi huru-hara dalam serangan itu dengan berjalan kaki selama dua jam untuk menyelamatkan diri.
Menurut seorang penumpang, Mohammad Ashraf, dia melihat lebih 100 individu bersenjata di dalam kereta api itu tetapi mereka tidak mengancam bahaya terhadap wanita dan kanak-kanak.
Tentera dan kerajaan Pakistan telah lama mendakwa bahawa Afghanistan menyediakan tempat perlindungan kepada kumpulan militan itu tetapi ia dinafikan oleh pemimpin Taliban. – AGENSI