IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan semua masjid dan surau di seluruh negeri dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat.
Kebenaran itu termasuk surau di dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, kolej, sekolah dan kilang-kilang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan sembah cadangan Maipk yang berpandukan nasihat Jawatankuasa Fatwa Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Mohd. Annuar berkata, keputusan tersebut diperkenan bagi membolehkan lebih ramai individu menunaikan solat Jumaat.
“Baginda turut memperkenan had maksimum 40 orang jemaah bagi solat Jumaat, solat fardhu dan solat jenazah tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai masjid atau surau.
“Jemaah yang dibenarkan terbatas kepada warganegara Malaysia lelaki dalam lingkungan usia 18 hingga 70 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Annuar berkata, syarat-syarat penjarakan antara jemaah akan diperketatkan dengan pengenalan mekanisme baharu merangkumi aliran masuk dan keluar masjid mahupun surau.
Katanya, aktiviti keagamaan seperti kuliah dibenar untuk diadakan dalam tempoh antara waktu solat Maghrib dan Isyak di masjid dan surau.
Beliau berkata, bagaimanapun sebarang acara jamuan di dalam atau perkarangan masjid dan surau tidak dibenarkan.
Katanya, ketetapan tersebut terpakai dan berkuat kuasa pada 28 Januari 2021 sehingga ketetapan baharu dikeluarkan dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – K! ONLINE