CYBERJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kira-kira 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh (SBP) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mulai tahun hadapan.
Perdana Menteri berkata, usaha untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang tersebut perlu dimulakan segera memandangkan ia merupakan bidang yang penting.
“Saya juga akan cadangkan kepada pelajar sekolah maktab dan sekolah asrama penuh, kurang lebih 70 peratus mulai tahun depan yang mahu masuk ke sekolah asrama penuh, mesti pilih jurusan STEM. (Baki) 30 peratus mesti (bidang) liberal arts dan sains sosial, macam saya.
“Kalau tidak, tak ada pun tak boleh juga. (Mereka) tahu buat jambatan tapi dia tak tahu (menghubungkan) jambatan antara manusia. Jadi sudah buat jambatan, saya cuba tambah jambatan antara manusia,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Madani Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Universiti Multimedia di sini hari ini..
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau akan meminta KPM dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melaksanakan beberapa insiatif bagi mendorong minat pelajar dalam bidang STEM. – KOSMO! ONLINE