BALIK PULAU – Kegiatan licik tujuh lelaki menjadikan bazar Ramadan Bayan Baru di sini sebagai ‘port’ untuk mengedar dadah akhirnya terbongkar menyebabkan mereka diberkas dalam dua serbuan semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, serbuan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya itu membawa kepada rampasan dadah jenis ketamin dan erimin 5 bernilai RM610.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, serbuan pertama dilakukan pukul 8 malam di sebuah gerai di bazar berkenaan dan pihaknya menahan enam lelaki bersama sejumlah ketamin serta dua batang rokok dicampur bahan terlarang itu.
“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai lima peket plastik lutsinar berisi ketamin seberat 2.85 gram dan dua batang rokok dicampur bahan sama. Kesemua suspek berusia 20 hingga 33 tahun. Mereka bekerja sebagai peniaga dan pembantu kedai makan,” katanya di sini hari ini.
Sazalee berkata, selepas itu polis menyerbu sebuah lagi gerai dan menahan seorang lelaki berusia 30 tahun. Pemeriksaan ke atas suspek menjumpai bungkusan foil merah dan perak berisi dua biji pil dipercayai erimin 5. – KOSMO! ONLINE