fbpx

‘Semua barang niaga rosak, tak ada yang boleh diselamatkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara khemah peniaga lain di Jalan TAR yang turut rosak selepas hujan lebat melanda kira-kira pukul 4 petang tadi.

KUALA LUMPUR – Peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini hari ini terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian beribu ringgit apabila barang perniagaan mereka rosak dalam kejadian ribut petang tadi.

Dianggarkan kira-kira 40 khemah peniaga mengalami kerosakan selain barang perniagaan musnah akibat cuaca buruk itu.

Seorang peniaga baju raya, Muhamat Azuwaranas Syafrizal, 35, berkata, hujan lebat bermula pada pukul 4 petang tadi disusuli  angin kencang.

Muhamat Azuwaranas yang mula berniaga di lokasi itu sejak 4 Mac lalu, kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila khemahnya patah dan kesemua barang perniagaannya tidak sempat diselamatkan.

“Hujan turun secara tiba-tiba sebelum datang angin kencang. Khemah patah dan baju-baju pun tidak sempat diselamatkan.

“Baju kurung, baju Melayu dan sampin habis basah. Ada (pakaian) yang koyak, kotor, basah. Tak tahu sama ada dapat berniaga lagi atau tidak sebab modal beribu ringgit sudah habis dekat sini (untuk barang perniagaan),” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Khemah milik Muhamat Azuwaranas yang rosak akibat hujan lebat petang tadi

Tambah Muhamat Azuwaranas, khemah yang diberikan oleh pihak berwajib juga didakwa mudah patah sekiranya berdepan cuaca buruk seperti ini.

“Kami mempunyai khemah sendiri, tetapi pihak pengurusan tidak benarkan kami guna khemah selain yang diberikan. Masalahnya khemah yang diberikan tidak berapa kuat dan mudah patah.

“Sehingga kini kami masih berusaha menyelamatkan saki baki barangan niaga walaupun hujan turun lebat,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Hidayah berkata, susunan khemah secara ‘back to back’ didakwa menjadi penyebab utama kejadian malang ini.

Katanya, isu ini pernah disuarakan kepada pihak berwajib, namun tidak diendahkan sekali gus mendatangkan kekecewaan kepada para peniaga.

“Kawasan khemah yang diletak secara ‘back to back’ adalah amat tidak sesuai. Lagipun khemah peniaga diletakkan di laluan angin.

“Hujan tak sampai lima minit, tetapi kerosakannya begitu teruk sampai satu barang pun tidak dapat diselamatkan. Saya harap pihak berwajib bertanggungjawab atas kejadian ini,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan operasi perniagaan di Jalan TAR terpaksa dihentikan buat sementara waktu susulan hujan lebat dan ribut petir petang tadi.

Bukan sahaja barangan kering seperti pakaian baju raya, malah peniaga makanan dan minuman juga difahamkan terkesan dengan cuaca buruk ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI