RIYADH – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo dan kekasihnya, Georgina Rodriguez berpindah ke rumah baharu di Arab Saudi selepas kerap menerima ancaman terhadap keselamatan mereka, lapor portal berita VNExpress semalam.
Menurut laporan EDATV yang memetik sumber, keluarga Ronaldo mengukuhkan langkah keselamatan dengan turut mengupah empat pengawal peribadi baharu dan dua anggota keselamatan tambahan.
Mereka juga telah berpindah ke rumah yang lebih selamat di Riyadh, dilengkapi dengan tempat perlindungan dan sistem pengawasan canggih.
Penyerang veteran yang kini bermain dengan kelab bola sepak Al-Nassr itu juga bersikap lebih berhati-hati apabila keluar dari rumah dan sentiasa mempunyai pengawal peribadi bersamanya.
Polis Arab Saudi turut menyiasat ancaman itu dan tidak menolak kemungkinan bahawa ia melibatkan kumpulan jenayah terancang, lapor E-Notícies.
Pasangan itu juga mengelak daripada berkongsi imej anak-anak mereka di media sosial kerana bimbang akan menjadi sasaran. – AGENSI