PUTRAJAYA – Tiga platform media sosial iaitu X, Google dan Meta belum memberi kata putus berhubung pelesenan platform media sosial dan proses perbincangan mengenainya masih berlangsung.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketiga-tiga pihak terbabit mempunyai hujah-hujah berbeza dan berpandangan mereka memerlukan lebih banyak maklumat bagi melengkapkan perbincangan tersebut.
“Bagi X, mereka masih berpandangan bahawa tidak ada jumlah yang mencukupi. Kita akan memberikan mereka sedikit masa lagi,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Setakat ini, hanya tiga syarikat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial dilesenkan iaitu WeChat International Pte Ltd (WeChat), TikTok Pte Ltd (TikTok) dan Telegram Messenger Incorporated (Telegram) pada 2 Januari lalu.
Ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula akta atau undang-undang berkaitan susulan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R) Fahmi berkata, kerajaan meluluskan Akta Keselamatan Dalam Talian dan akan diwartakan tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE