PARIT BUNTAR – Seorang pekerja kontrak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa pasangan suami isteri di Kuala Kurau minggu lalu.
Tertuduh, Ng Ju Han, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.
Ju Han yang masih bujang didakwa memandu kereta Honda City di bawah pengaruh dadah menyebabkan dia tidak boleh mengawal kenderaan sehingga mengakibatkan kematian Baharudin Ahmad, 59, dan Wan Saniah Wan Ismail, 66.
Kesalahan dilakukan dari arah Kuala Kurau menghala Tanjung Piandang di dalam daerah Kerian pada pukul 7.50 pagi, 5 Mac lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir mencadangkan jaminan RM15,000, namun tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Ruhan ‘Imran Abdul Halim memohon satu jaminan yang minimum dengan alasan perlu menanggung ibu bapa dengan pendapatan RM2,200 sebulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin dalam kalangan ahli keluarga. Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 April ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. Tertuduh membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE