GEORGE TOWN – Siapa sangka pada usia 74 tahun, nama Nariah Ahmad atau lebih sebagai Kakcikyah menjadi tumpuan ratusan ribu pengikut di aplikasi TikTok dengan hanya berkongsi resipi masakan ‘orang lama’.
Turut dikenali sebagai nenek online dalam kalangan pengguna media sosial, celoteh Kakcikyah yang bersahaja menarik minat orang ramai termasuk orang muda untuk mengikuti akaun TikTok wanita tersebut.
Malah, fenomena Kakcikyah Viral membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk berkongsi minat dan meraih kejayaan di platform digital.
Bermula sekadar hobi merakam video masakan, wanita yang pernah digelar Makcik Karipap ini kini mempunyai 188,300 pengikut di TikTok dan mendapat pelbagai tawaran untuk membuat ulasan produk
Nariah yang berasal dari Mata Ayer, Perlis berkata, perjalanannya sebagai pempengaruh bermula pada pertengahan tahun lalu selepas dia memuat naik resipi kerabu mangga Thailand di akaun TikTok.
“Saya pun tak sangka orang ramai suka dengan celoteh saya ketika memasak, video resipi kerabu mangga ini ditonton lebih sejuta pengguna TikTok, semuanya untuk isi masa lapang saya.
“Saya memang minat memasak dan merakam video. Saya buat sendiri saja, anak-anak suruh saya belajar guna TikTok untuk mengisi masa lapang. Dari tak tahu menggunakan telefon bimbit, sekarang dah pandai rakam dan balas komen,’” katanya hari ini.
Ibu empat anak dan nenek kepada tujuh cucu itu berkata, dia menggangap kerjaya baharunya sebagai pempengaruh satu rezeki daripada Allah pada Ramadan kali ini memandangkan dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE