KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika ini tidak bercadang mengikut langkah Amerika Syarikat (AS) mengenai dasar menghantar pulang pendatang tanpa izin ke negara asal sebagai dasar baharu lebih keras bagi menyelesaikan isu lambakan warga asing.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana KDN sentiasa menambah baik prosedur kawalan dan penguatkuasaan peraturan imigresen untuk mengawal keberadaan pendatang tanpa izin.
“Antara usaha penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan kementerian ini bersama-sama agensi di bawahnya, termasuk kawalan sebelum kemasukan ke dalam negara dan penggunaan teknologi dalam kawalan pintu masuk negara.
“Selain itu, kita juga melaksanakan kawalan keberadaan pendatang tanpa izin dalam negara selain melaksanakan operasi penguatkuasaan,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Azahar Hassan yang ingin mengetahui adakah kementerian bercadang mengikut langkah AS dalam dasar menghantar pulang pendatang tanpa izin ke negara asal sebagai dasar baharu lebih keras bagi memastikan isu lambakan warga asing dalam negara dapat diselesaikan.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Azhar Ahmad yang ingin mengetahui jumlah PATI ditahan tahun ini dan jumlah telah diusir keluar ke negara asal.
Jelas Shamsul Anuar, bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Mac tahun ini, Jabatan Imigresen sudah melaksanakan lebih 2,679 operasi penguatkuasaan melibatkan tangkapan 9,904 PATI.
“Tangkapan ini melibatkan warga asing dari pelbagai negara dan 348 majikan atas pelbagai kesalahan imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen,” katanya. – KOSMO! ONLINE.